Belum Dewasa Lagi - Cerpen

Belum Dewasa Lagi


Belum Dewasa Lagi

Kalau mengikut perkiraan umur, aku sudah dianggap dewasa. Kata emak atau orang - orang tua di kampung, perempuan umurnya macam aku sudah boleh berkahwin. Kalau berkahwin sudah mempunyai tiga (3) hingga (4) orang anak. Ah! Aku bukan mahu cerita pasal anak. Aku cuma mahu kisahkan sakit kecil aku. Tak henti pula menyucuk. Orang tak faham. Ini kisah aku. Bukan engkau. Engkau hanya tahu menghukum dan mengecop aku itu dan ini.

Marilah. Aku mula kan kisah. Ini kisah lama. Sudah berjarak mungkin dua (2) atau tiga (3) tahun. Aku malas mahu mengingatkan kenangan. Waktu itu, aku mahu berdaftar di sebuah universiti yang dianggap bodoh oleh sesetengah masyarakat atau boleh dikatakan manusia seperti adik Neelofa yang pernah bersekolah di sekolah swasta mungkin dan memang tak sah lagi akan mengganggap universiti yang aku daftar itu adalah tempat orang - orang bodoh. Dan baru - baru ini, viral tentang universiti ini. Bertekak di ruang komen. Begitu begini. Majikan tidak mahu ambil bekerja lah apa lah. Aku ini jenis malas mahu menulis komen. Sekadar aku menjawab atau memaki hamun dalam hati sudah memadai. Bagi aku, yang komen semuanya tolol. Dua (2) kali (x) lima (5) sama sahaja. 

Dijadikan cerita, tika itu, emak lah yang naik turun tangga menggendong usung perut boyot menyelesaikan segala hal aku. Kebetulan ketika itu, aku mengalami sakit perut melampau. Iya lah sakit perempuan. Memang makan pun aku tak mahu. Segala takut aku yang menjadi - jadi dirumah habis lesap akibat serangan sakit perut melampau. Segala macam hal aku tak peduli. Lantak lah. Esok - esok aku selesaikan. Apa lah sangat. 

Sementara aku sedang mengalami sakit perut yang tak ternilai, aku masih lagi punya kasihan pada emak yang menggendong perut. Aku juga sudah letih naik turun tangga tidak larat. Emak pula bagaimana lah rasanya. Terus aku bernekad dalam hati. Kalau adik kecil ini lahir, aku mahu curahkan segala sisa kasih sayang aku padanya nanti. Dengan harapan, emak sudah penat menggalas engkau diperut kehulur kehilir di universiti gah ini, nanti kau lahir. Kau jadilah manusia gagah yang bijak ya?

Kini, dia sudah besar. Dia kanak - kanak. Tapi percakapannya kadangkala bagai dewasa. Aku tak tahu lah dia ini fikirannya macammana. Benar - benar bijak atau memang Tuhan kurnia kepetahan bercakap. Aku ini sudah dewasa. Kata emak aku suda boleh berkahwin, tapi dengan adik sendiri mahu berkecil hati. Kelakar bukan?

Tapi itulah hakikatnya. Aku juga tak mampu nak luah bagaimana. Tapi itulah. Berbalik semula kepada per 'nekad' an aku. Siap aku berangan, nanti kalau aku berkereta aku mahu angkut kau kehilir menikmati angin yang bapak jarang curah di hari cuti. Aku mahu bagi kau apa sahaja dengan duit yang aku dapat hasil dari peluh busuk aku bekerja. Janji kau bahagia. Itu lah yang aku pernah berangan dahulu.Tapi itu dahulu.

Sekarang, angan - angan aku sudah mati. Aku ini sudah dewasa. Rakan - rakan lain sudah berkereta punya lesen segala. Aku? Cuma ada motor dan lesen motor. Lesen kereta pun tidak ada, kereta apa tah lagi. Bawa kereta lagi tak pernah. Sedikit malu pernah singgah. Walau dengan budak sekecil adik aku yang belum mengerti apa. Sesekali apabila adik aku yang lain membawa nya keluar, naik kereta. Wah. Dia terlupa untuk kenal aku ini siapa sebenarnya. Balik dari berjalan, adalah dalam sepuluh (10) juta kali dia sebut nama pemilik manusia yang membawanya berjalan - jalan, belanja aiskrim, belon. Aku lemas!

Aku duduk di sebelahnya menikmati biskut kering. Lagi dan lagi dia menyebut pemilik nama manusia itu. Aku tak cemburu. Aku cuma berkecil hati. Itu sahaja. Walau dengan budak sekecil adik aku. Emak tanya, sayang siapa? Dia sebut lagi nama pemilik nama itu. Siap dikata kan nya "Adik tak sayang kakak." Berderai - derai kaca pecah dalam hati. Sabar - sabar. Kecil ini. Bukan budak besar. Dia masih belum mampu berfikir. Kadang - kadang aku malu mahu membawanya keluar, sekali dengan adik - adik aku yang lain. Nanti, adik aku yang aku 'sayang' sangat ini pastinya akan menunjuk pada semua oranng betapa benci dan tak suka nya dia kepada aku. Sedih aku.

Aku cuma harap, bila kau tambah besar. Kau akan kenal kakak kau. Bukan orang lain, yang cuma sekadar campak kan kau pelangi yang secupak. Aku belum cukup dewasa sebenarnya, kalau sebab ini sudah membuatkan aku berkecil hati.

Post a Comment

0 Comments