Perempuan Itu

Aku menulis entri ini untuk menghargai perempuan - perempuan yang menghargai aku selama aku hidup. Tergerak hati untuk menulis agar tulisan ini akan terus kekal dan dibaca pada suatu hari dengan ketiadaan aku lewat masa nanti. 

Perjuangan Hidup

Buat masa ini, mereka adalah perempuan - permpuan istimewa yang kekal ada 'memperjuangkan' hidup aku yang sedang larut dengan kehidupan masyarakat yang tak suka tengok aku. 

Yakin benar aku ada manusia manusia yang sedang membenci aku. Eh? Kan adat dunia ada yang tak suka dan suka kita. Itu perkara biasa. Dan ini lah perempuan yang kekal ada dengan aku walaupun tak sepanjang masa.

Menjadi Aku

Untuk menjadi aku tak semudah kata. Tuhan ketemukan aku dengan manusia yang jelik melihat aku. Barangkali kerana keadaan aku yang tak sama. Dekat Malaysia, kita tak diajar untuk meraikan perbezaan. 

Perbezaan bererti kau harus tersingkir. Itulah yang aku alami sepanjang kehidupan dalam sistem sekolah. Walaupun aku tersingkir, Tuhan tetap mengadili hidup aku dengan menghantar sebaik - baik manusia yang tak nilaikan hidup aku atas dasar perbezaan. 

Mereka memandang apa yang tidak ada pada aku sebagai satu kekuatan bahawa aku boleh pergi jauh. Terima kasih untuk semua yang pernah ada dan menghargai perbezaan aku. 

Emak

Perempuan Itu
Konvokesyen Kolej Komuniti 2017
Ini emak. Perempuan pertama yang paling dekat semenjak Tuhan wujudkan aku dalam kegelapan rahim. Dialah perempuan yang paling berusaha mengeluarkan aku dari kegelapan untuk belajar dan meilhat warna warni dunia. 

Aku dan emak rapat. Rapat yang tak seperti orang lain. Aku tak pernah berkongsikan hal - hal rahsia tentang perasaan dengan emak. Sebab aku tak selesa. Aku tak suka emak tahu kekalahan aku hidup dalam masyarakat. Aku tak nak emak resah. 

Sampai hari ini, emak tak pernah tahu aku pernah kejar seorang laki - laki yang merendahkan kejadian aku waktu rehat di sekolah. Emak tak pernah tahu, kalau laki - laki itu jatuh tersembam dan aku ambil kesempatan duduk di atas badan dia dan menumbuknya dari belakang. 

Emak tak pernah tahu kalau aku jadi bahan gurauan kelompok laki - laki di sekolah sampai aku pernah terfikir what the fuck kenapa aku? Sampai aku terfikir baik mati dari mendengar lolongan dari mulut lelaki yang berbau hanyir atau perempuan - perempuan hati 'jahat'; yang tak suka berkawan kerana keadaan fizikal aku.

Setiap kali bicaranya dengan kelompok manusia, emak akan bercerita. Aku adalah perempuan, anaknya yang paling tahu bawa diri. 

Kebanyakkan waktu, aku bersendirian. Dan emak takkan pernah tahu aku gagal sebenarnya. 

Kawan Baik, Cyra

Perempuan Itu

Ini kawan aku, merangkap kawan baik dan rapat (BFF). Sejak akhir - akhir ni, kami jarang berhubung. Waktu yang cemburu atau kami sekarang tak pedulikan lagi persahabatan asalkan antara kami masih terpahat nama. 

Nur Syahirah Sanusi, itulah nama dia. Tuhan kenalkan aku dengan dia, waktu umur aku 7 tahun berdekatan pohon ceri yang dah tak wujud berhampiran rumah. Tak tahu kalau teguran pertama dulu telah menjalinkan ikatan selama ini. Terima kasih Tuhan meletakkan dia dalam kelompok yang paling faham aku.

10 tahun bukan sekejap. Malah lebih dah kami ni. Kami pernah gaduh waktu umur 11 kalau tak silap. Hanya kerana hal remeh. Biasalah waktu tu masih budak. Kalau ingat balik, mungkin kami gelak. Ada waktu kami lepak, kami akan mengulang cerita waktu sekolah untuk mengimbau kenangan lama.

Dia masih lagi sama macam dulu. Kadang manja dan gilanya datang, aku rasa macam nak tampar pipi. Minta sedar kau sudah dewasa. Aku lupa, dia takkan matang dengan orang paling selesa. Cuma aku yang kadang meletak had untuk tak kelihatan macam budak. Poyo eh aku? Sebab aku masih fikirkan mulut - mulut orang.

Hampir angka 2 dekad persahabatan aku dengan dia. Macam - macam kami tempuh. Aku boleh kata dia ni macam penasihat dan cikgu kaunseling. Setiap kali aku rasa macam aku tak larat, aku akan bagitahu dia, aku hampir jatuh. 

Dialah orang yang akan bercakap tak berhenti untuk kekalkan aku terus berdiri. Sekarang aku rindu dia. Bila dah makin bertambah umur ni, aku kena belajar jauh dan kehilangan sementara. Aku harap, kita akan selamanya ada waktu - waktu kritikal dan bila diperlukan.

Terima kasih Cyra untuk kenangan dan persahatan ini.
selamat menjadi isteri; wedding cyra.


Kawan Baik, Dhi

Perempuan Itu

Ini kawan aku, merangkap kawan baik dan rapat. Aku kenal dia tahun 2013 di Uitm Johor, hanya untuk satu sem. Dalam kelas aku paling 'bodoh' nak faham apa yang pensyarah ajar. Aku tak bergaya. Untuk rapat dan berkawan dengan kawan perempuan yang lain, masyaallah. Susah.

'Weyh, ni macam mana ye? Boleh ajar kan tak? '
'Aku belum buat lagi. Nanti eh.'

Dia siap. Aku? Masih 'bodoh'. Selfish. Bukan sekali, tapi banyak kali kawan kelas yang paling pandai maths tu cakap dekat aku macam tu. Bila tahu dia pilih bulu, aku tak tanya dia lagi. 

Kemudian,Tuhan hantar lagi manusia baik untuk aku yang tak pernah kisah aku bagaimana. Kami sekepala dan gila - gila. Oh ya, Fadhilah Fuad. Itu namanya. Aku kenal dia cuma satu sem. Sekadar 4 bulan aku kenal hati budi dia. 

Tuhan panjangkan persahabatan kami sampai sekarang. Hampir 5 tahun. Kenangan kami tak banyak. Tapi 4 bulan tu cukup lama bila semuanya dengan dia. Kalau nak cerita pasal waktu - waktu bahagia dengan dia, terlampau banyak dalam masa 5 tahun. Cukup kalau aku kata, aku sayang dia. 

Aku harap Tuhan akan kekalkan persahabatan ini sampai nyawa paling akhir.

Terima kasih Dhi untuk kenangan dan persahatan ini.

Kawan Baik, Sya

Perempuan Itu

Ini kawan aku. Namanya Nur Natasya Yusni. Dia kawan baik dan rapat sejak 2014 di Kolej Komuniti Hulu Langat. Aku kenal dia masa tengah kemas - kemas barang dalam bilik sewa. Kami tak sama kelas, tapi duduk satu rumah. 

Aku boleh kata, sepanjang 2 tahun di kolej memang aku hadap je muka dia dari bangun tidur sampai  berebut bilik mandi. Atau waktu bosan, kami akan lepak kedai makan berdekatan rumah sewa untuk membuktikan kebebasan kami jauh dari keluarga. Hahaha. Okay aku bergurau.

Dia kawan yang boleh basah dalam hujan, atau kering dalam panas dengan aku. Kalau keluar dengan dia, aku tak perlu fikir mana tempat berteduh paling dekat untuk menyelamatkan diri. Sebab dia okay untuk redah semua tu. 2 tahun cukup untuk aku rasa bersyukur sebab pernah kenal dengan dia.

Dia perempuan yang aku kira, boleh dan sanggup berkorban untuk orang lain. Asalkan sama - sama susah sama - sama senang. Tak sangka aku dapat konvo sama - sama dengan dia. Paling penting ada gambar yang merakam detik itu. 

Aku sangka aku akan sorang - sorang dalam meraikan kejayaan. 

Terima kasih Sya untuk kenangan dan persahatan ini.

Kawan Rapat, Khaty

Perempuan Itu

Khatijah Nur Ain Azman. Aku panggil dia Khaty sebab tak mahu menyebut tiga suku kata hanya untuk panggilan nama. Dia kawan rapat aku waktu sekolah menengah di SMK Seri Tanjong K. Selangor. Eh tak. Bukan. Aku cuma tahu aku satu sekolah dengan dia tahun 2008 sampai 2010. 

Aku kawan dengan dia mungkin dalam facebook. Kami ke acara puisi. Aku teman dia. Aku lupa bagaimana dan dimana kami mula berkawan. Aku cuma tahu, kami masih berkawan sampai ke hari ini. Mungkin puisi dan buku yang mengikat hubungan ini. 

Semenjak rapat, kami sering melewati acara puisi berdua. Pernah sekali kami bermalam di Masjid berdekatan Stesen Hang Tuah semata - mata meraikan acara penutup puisi EKSOTIKATA.

Aku paling bahagia bila akhirnya Tuhan bawakan aku seorang manusia yang sama minat. Puisi --

Aku belajar banyak benda dengan dia. Dari sekecil kecil hal, sehingga yang besar. Aku tahu dia seorang yang paling tabah memberontak dalam jiwa untuk kekal ada sampai sekarang. Aku tahu dia bukan lemah melawan kata pahit dari masyarakat. 

Aku tahu, dia sedang dalam perjalanan membawakan hak sama rata. Agar dalam dunia tidak wujud perbezaan. Semoga berjaya. Aku ada dibelakang menyokong. Aku harap, kita akan mengulang lagi waktu lebih kurang sama macam dulu semata - mata untuk meraikan puisi.

Terima kasih Khaty untuk kenangan dan persahatan ini.

Kawan Rapat, Mira

Perempuan Itu

Aku kenal Mira di bangku sekolah rendah 2003. Kami sama - sama pengawas dan sama kelas. Kami selalu bertugas membanteras jenayah waktu rehat. Nur Amira Syafiqah Azman namanya. Aku panggil dia Mira. Kami berkawan dah lama. 

Kami tak selalu berdua, cuma pada waktu - waktu tertentu sahaja. Habis sekolah rendah kami lost contact dan sekolah asing. Sampailah aku diterima masuk ke Uitm, Johor. Dekat situ, aku terjumpa dia dan kami kembali berhubung dan meneruskan perhubungan sehingga ke hari ini.

Ada waktu - waktu istimewa kami akan menghabiskan waktu dari pagi sampai malam untuk meraikan persahabatan ini. Lama rasanya kami tak berhubung. Semenjak dia sah menjadi isteri kepada seorang lelaki yang bergelar suami. 

Aku tak ganggu dia semenjak itu. Dia masih pengantin baru. Aku patut memberi ruang dia 'bercinta' dengan suaminya dahulu. Hehehe. 

Terima kasih Mira untuk kenangan dan persahatan ini.

Cikgu

Terima kasih untuk sekalian cikgu yang selalu menghidupkan bakat dan minat aku tanpa memandang kekurangan aku. Terima kasih cikgu kerana menghargai wujud aku dalam hidup kalian. Terima kasih kerana memberi peluang dan ruang untuk aku menjadi aku dan berkarya. Terima kasih yang takkan terbalas jasa kalian pada aku.
  • Sekolah Tadika Kemas Batu Tiga S. Alam
  • Sekolah Kebangsaan Seksyen 20 Shah Alam
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tanjong K. Selangor
  • Sekolah Menengah Vokasional Shah Alam
  • Uitm Segamat, Johor
  • Kolej Komuniti Hulu Langat

Nenek

Nenek meninggal selepas kejadian banjir besar di Shah Alam pada tahun 2004 kalau tak silap. Sama tahun dengan kejadian Tsunami. Aku kurang yakin siapa nama nenek. Barangkali Gowariah Rohani. Nenek takkan ada pengganti sampai bila - bila. Aku rapat dengan nenek. Waktu sekolah pun aku tidur rumah nenek. 

Aku ada banyak kenangan zaman kecil yang indah bersama nenek. Banyak ~ Tak terungkap. Aku taknak menangis waktu menulis entri ini. Aku nak habiskan dalam keadaan aku senyum kerana akhirnya aku menulis kisah tentang perempuan itu dengan jayanya. 

Semoga nenek aman dibawah sana menunggu giliran ke syurga. Alfatihah ~ 

Terima kasih atas pengorbanan dan tak terbeban dengan aku.
Terima kasih kerana pernah pinjamkan waktu.
Terima kasih sebab jarang berkira apa.
Terima kasih sebab susah dan senang.
Terima kasih sudi terima.

Terima kasih juga pada semua perempuan yang sudi menerima aku dalam hidup kalian. Walau kita tak menjalin hubungan yang lama, sekadar kenal nama.
Aku menyimpan persahabatan kita
dalam runtuhan kenangan yang terbiar. 

Post a Comment

0 Comments